top of page
Search

Undang-Undang dan Peraturan Dron di Malaysia


Adakah anda tahu apakah peraturan dan undang-undang dron di Malaysia?


Malaysia merupakan negara yang amat menitikberatkan undang-undang bagi menjamin keselamatan negara dan juga rakyatnya. Dron merupakan peralatan teknologi tinggi yang semakin mendapat perhatian di kalangan belia muda dan juga professional. Kerajaan telah mengeluarkan peraturan dan garis panduan bagi memastikan teknologi ini selamat digunakan untuk melindungi kepentingan pelbagai pihak dalam masyarakat.


Segala peraturan dan operasi dron dikawal oleh Peraturan – Peraturan Penerbangan Awam 2016 di bawah pengawasan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Antara peraturan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) meliputi pihak syarikat, pengguna individu dan agensi kerajaan boleh diakses di laman web rasmi CAAM.

Namun, kebanyakan anda mungkin masih mendapati garis panduan semasa mengelirukan. Untuk menerbangkan pesawat udara tanpa pemandu (UAS) individu tersebut mestilah mempunyai permit daripada CAAM sebelum memulakan sebarang operasi.


Berikut merupakan kategori UAS yang telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia:

  • Sistem pesawat kecil tanpa pemandu

Sistem pesawat kecil tanpa pemandu mempunyai jisim tidak lebih daripada 20 kilogram tanpa bahan api tetapi termasuk apa-apa barang atau peralatan yang dipasang di dalam atau pada pesawat ketika permulaan penerbangannya

  • Pesawat pengawasan kecil tanpa pemandu

Sebuah pesawat kecil tanpa pemandu yang dilengkapi untuk melaksanakan apa-apa bentuk pengawasan atau pemerolehan data.

  • Sistem pesawat tanpa pemandu melebihi 20 kg

Untuk melakukan sebarang operasi penerbangan dron, juruterbang dron harus mengetahui peraturan di mana terdapat beberapa kawasan yang tidak dibenarkan untuk menerbangkan UAS:

  • Dalam ruang udara kelas A, B, C atau G

  • Dalam zon trafik aerodrome

  • Pada ketinggian lebih daripada 400 kaki daripada permukaan bumi melainkan dengan kebenaran daripada pegawai eksekutif CAAM

Ini bermakna di bawah peraturan semasa kami, semua operasi dron dikehendaki mempunyai permit, terutamanya untuk operasi dron komersial. Selain itu, terdapat beberapa kawasan yang merupakan Kawasan larangan terbang bagi semua jenis dron iaitu di Putrajaya, KLCC, Parlimen, Istana Negara. Kawasan awam seperti hospital, lapangan terbang, zoo juga tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti penerbangan dron kerana Kawasan berikut sering menjadi tumpuan orang ramai serta amat berisiko tinggi jika berlaku kemalangan yang melibatkan orang awam.


Secara ringkasnya peraturan juga menyatakan dron hanya boleh diterbangkan bagi kerja keudaraan dengan kebenaran daripada Ketua Pegawai Eksekutif CAAM. Untuk mendapatkan permit daripada CAAM bayaran akan dikenakan seperti berikut:

  • Pesawat pengawasan kecil tanpa pemandu: RM 250

Pemohonan permit CAAM ini adalah untuk aktiviti UAS yang tidak dikategorikan sebagai:

  • Projek UAS Khas (Special UAS Project CAD 6011 Part V)

  • Operasi UAS Pertanian

  • Operasi Beyond Visual Line of Sight (BVLOS)

Borang permohonan yang lengkap dan dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dihantar ke drone.atf@caam.gov.my sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh cadangan aktiviti. Pihak CAAM berhak untuk menolak penyerahan yang tidak lengkap atau lewat.

Walaupun industri dron ini masih baru kepada pengguna namun setiap penggunanya harus mengambil berat terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan di sesebuah negara itu. Sebagai juruterbang yang professional dan bertanggungjawab mereka harus sentiasa peka dengan setiap perubahan peraturan dan undang-undang yang terkini supaya segala operasi yang dijalankan dapat dilakukan dengan selamat dan sah.


Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang peraturan dron semasa di Malaysia, jurulatih kami akan dapat membantu anda dalam semua kursus latihan dron kami.

bottom of page