Perkembangan teknologi pada era baru ini menjadikan kita untuk lebih kreatif dalam mencari penyelesaian yang dapat memudahkan urusan pekerjaan serta kehidupan seharian. Pelbagai teknologi baru telah diperkenalkan dan salah satunya ialah dron. Penggunaan dron yang semakin berkembang amat bermanfaat bagi beberapa industri yang berada di Malaysia. Salah satu industri yang mengaplikasikan teknologi dron ialah industri pembinaan dan infrastruktur. Penggunaan dron dalam industri pembinaaan bukan suatu yang asing lagi kerana mereka banyak menggunakan alat ini kerana mampu mengurangkan kos dari segi masa, wang, penggunaan buruh dan dapat meningkatkan kecekapan.
Dron digunakan sebagai alat untuk mereka melakukan tinjauan kawasan atau tujuan pemeriksaan tapak pembinaan bagi melihat kemajuan projek mereka. Teknologi dron mampu untuk menangkap banyak data dari udara dan memproses data dalam masa yang singkat serta mendapatkan hasil yang lebih baik. Selain mempunyai gambar dari udara yang terperinci, data yang dikumpul oleh dron dalam satu penerbangan menyediakan peta yang lengkap dengan titik GPS dalam 2D ​​dan 3D. Peta ini mampu melihat ukuran jarak, permukaan dan ketinggian yang tepat.
Selain itu, masa dan kos juga dapat dikurangkan kerana mereka tidak perlu lagi mengambil masa selama 3 – 4 jam bagi untuk melawat kawasan dan membuat pengiraan keluasan tapak pembinaan dan sebagainya. Kebiasaanya juru ukur atau pengurus projek akan melawat tapak projek secara fizikal untuk melihat dan mendapatkan maklumat mengenai kemajuan projek mereka. Oleh itu, apabila terdapat seorang pekerja yang menerbangkan dron dan menangkap gambar dari udara ia akan memudahkan tugas pengurus untuk melihat sebarang perkembangannya melalui komputer sahaja serta dapat berbincang bersama ketua projek tanpa melakukan lawatan secara fizikal.
Penggunaan dron semasa melakukan pemeriksaan tapak pembinaan juga dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan dan meningkatkan tahap keselamatan pekerja. Pengurusan keselamatan pekerja adalah penting ketika sedang menjalani operasi yang berisiko tinggi untuk mengelakkan berlaku kemalangan yang melibatkan pekerja di tapak pembinaan. Pengesanan dron terhadap keadaan berbahaya seperti bahan dan struktur yang tidak stabil boleh dicegah di tapak pembinaan tanpa meletakkan pekerja dalam risiko. Sistem yang digunakan dron juga lebih cekap untuk melakukan pemeriksaan tapak di kawasan yang terpencil dan dapat mengesan jika berlaku sebarang perlanggaran di tapak pembinaan
Imej dron juga banyak membantu pekerja di industri infrastruktur untuk mengenalpasti sama ada struktur tanah tersebut sesuai untuk dijadikan kawasan pembinaan dan perkara yang mungkin memerlukan pembentukan semula atau menangani dalam projek yang dicadangkan. Teknologi dron membantu jurutera untuk mendapat maklumat data yang tepat dari bawah tanah dan membantu reka bentuk sistem jalan raya dan bangunan.
Dron telah membuktikan keberkesanannya dan telah menunjukkan pulangan yang tinggi dalam pelaburannya. Sistem yang canggih seperti aplikasi tinjauan, laporan kemajuan projek, dan aplikasi keselamatan dapat meningkatkan produktiviti pekerja. Dijangkakan lebih banyak kegunaan dron akan digunakan dalam industri lain untuk tujuan ini pada masa hadapan. Jika anda berminat untuk mengambil kursus dron yang dianjurkan CAAM, sila hubungi kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Comments